fbpx

Inovasi pengajaran dengan teknologi maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiap idea inovatif dinilai mengikut kesesuaian dalam mencapai objektif pengajaran.

PENGGUNAAN inovasi dilihat mampu membantu guru di sekolah untuk mencapai objektif pengajaran yang ditetapkan berbanding pengajaran secara tradisional.

Sebagai guru juga, mereka perlu sentiasa bersedia dengan perubahan semasa dan juga inovasi terkini untuk memastikan pengajaran yang dijalankan mampu mencapai objektif pengajaran.

Sebagai langkah untuk mencungkil kreativiti inovasi mahasiswa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mengadakan Program Pameran Inovasi Produk yang bertempat di Anjung 1, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.

Disertai oleh 29 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Kesusasteraan Melayu semester 7, program ini dijalankan untuk memenuhi tugasan subjek Seminar

Refleksi Latihan Mengajar di bawah pensyarah, Dr. Nordiana Hamzah.

Menurut pengarah program, Mohamad Faridzhul Din, inovasi produk sememangnya tidak asing lagi dalam dunia pendidikan dan tujuan program ini dijalankan adalah bagi memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi yang merupakan bakal guru Kesusasteraan Melayu mengetengahkan idea serta pandangan berkaitan produk inovasi dalam pembelajaran.

“Program ini dapat membantu pelajar ISMP Kesusasteraan Melayu yang terlibat menonjolkan kreativiti dalam menghasilkan satu inovasi produk pengajaran dan pembelajaran.

“Membabitkan penglibatan lima kumpulan, mereka semua berjaya menghasilkan inovasi produk yang menarik untuk disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Kesusasteraan Melayu,” katanya ketika dihubungi K2.

Tambah Mohamad Faridzhul, antara ciptaan produk yang dihasilkan oleh kumpulan adalah Kotak Ultra Detektif, Papan Sinopsis Cerita, Jutawan Plot, Permainan MH02 serta Papan Cemerlang.

Para pelajar UPSI mengetengahkan pelbagai idea inovatif yang boleh diterapkan para guru dalam mengendalikan pengajaran dan pembelajaran subjek Kesusasteraan Melayu.

Pemilihan pemenang telah dijalankan oleh para pensyarah Kesusasteraan Melayu UPSI.

Antara aspek yang dinilai untuk pemilihan pemenang adalah bagaimana inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan ini mampu mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, objektif pembelajaran ditetapkan adalah perkara utama yang perlu diberikan tumpuan oleh setiap guru untuk memastikan murid memahami topik pengajaran yang dijalankan.

Untuk pemenang tempat pertama, ciptaan inovasi produk yang dihasilkan adalah Kotak Ultra Detektif.

Produk yang dihasilkan melibatkan gabungan bahan yang diperbuat daripada sebuah kotak dan dihiasi dengan beberapa bahan menarik termasuk bahan digital.

Kongsi Mohamad Faridzhul, penggunaan inovasi ini disesuaikan dengan pengajaran dan pembelajaran dengan latar masa dan latar tempat.

“Murid perlu mencari petunjuk tentang topik pembelajaran mengikut urutan berdasarkan balingan dadu, tontonan video animasi, mengumpul kesemua petunjuk melalui hasil imbasan QR kod, seterusnya menggabungkan kesemua petunjuk dalam bentuk ayat dan gambar rajah.

“Ciptaan inovasi produk kotak ini dilihat mampu merangsang minda murid dengan gabungan dua bahan yang digunakan iaitu secara nyata dan juga teknologi maklumat (IT),” ujarnya.

Jelasnya lagi, untuk bermain produk inovasi ini, murid perlu bermain mengikut urutan bermula balingan dadu berwarna.

Seterusnya, murid perlu menonton video animasi dan membaca maklumat yang terdapat dalam lipatan baju yang mempunyai warna yang sama dengan hasil warna dadu dibaling.

Jika murid tidak dapat menjawab soalan, mereka perlu mengimbas QR kod untuk mendapatkan petunjuk, sebelum menggabungkan kesemua petunjuk untuk memperoleh jawapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI