JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini menunjukkan penurunan apabila seramai 7,613 mangsa daripada 2,080 keluarga masih ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) hingga pukul 7 malam ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, Batu Pahat menjadi daerah ketujuh di negeri ini yang terkesan akibat banjir yang melanda negeri sejak awal bulan lalu dengan seramai 58 mangsa daripada 19 keluarga.
“Kota Tinggi merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi di negeri ini dengan seramai 4,472 penduduk daripada 1,208 keluarga ditempatkan di 24 PPS, menurun berbanding 4,740 penduduk daripada 1,291 keluarga pada petang tadi. Daerah kedua terjejas akibat banjir adalah Johor Bahru dengan seramai 1,705 mangsa daripada 454 keluarga di 10 PPS yang masih dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, mangsa banjir di Kluang juga menunjukkan penurunan daripada 1,308 mangsa daripada 386 keluarga kepada 1,163 mangsa daripada 341 keluarga.
Tambahnya, mangsa banjir di Segamat meningkat kepada 103 penduduk daripada 29 keluarga di empat PPS, mangsa banjir di Kulai membabitkan 90 penduduk daripada 24 keluarga.-KOSMO! ONLINE