KLUANG – Empat kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berdepan detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortune dinaiki mereka dihanyutkan air ketika dalam perjalanan keluar dari Kampung Orang Asli Sedohok di sini hari ini.
Kesemua mereka bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan tersebut dalam kejadian pada pukul 2 petang itu.
Pengarah Jakoa Johor, Faisal Long berkata, kenderaan tersebut yang berada di hadapan dipandu Mohd. Fuad Abdul Rahman, 45, dengan membawa tiga lagi kakitangan Jakoa.
Katanya, sebaik tiba di kawasan dinaiki air, secara tiba-tiba kenderaan tersebut bergerak ke kiri sebelum hanyut scara perlahan-lahan. Kenderaan itu berhenti kira-kira 10 meter dari jalan selepas tersangkut pada sebatang pokok.
“Selepas mereka keluar, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Polis Diraja Malaysia yang turut sama dalam konvoi berkenaan membantu mengeluarkan kenderaan dari dalam air,” katanya.
Sebelum kejadian, konvoi menghantar bakul makanan ke Kampung Orang Asli Sedohok yang disertai oleh Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Sapiah Mohd Nor melalui jalan alternatif dari Batu 17 untuk masuk ke kampung berkenaan. – KOSMO! ONLINE