fbpx

Warga Bangladesh dipaksa bekerja tanpa upah diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga Bangladesh yang diselamatkan JIM daripada menjadi mangsa majikan di Selangor kelmarin. - Foto oleh IHSAN JIM

PUTRAJAYA- Seramai 21 lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 40 tahun diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi membanteras kegiatan pemerdagangan orang di sebuah premis rumah kedai di Klang, Selangor kelmarin.

Difahamkan, kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh majikan yang menguruskan kemasukan ke Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, operasi menyelamat itu dijalankan Unit Risikan Operasi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil maklumat awam dan risikan.

Katanya, pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Mereka juga diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama enam bulan. Ada antara mereka dikeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara yang sah dan bekerja, namun tidak diberikan upah oleh majikan.

“Pasport mereka turut disimpan oleh majikan. JIM mengenal pasti majikan yang terlibat dan memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.

JIM sentiasa memandang serius isu terbabit selain akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang mengabaikan pekerja yang menjurus kepada elemen eksploitasi, buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah ATIPSOM 2007.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 30 tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan sebatan bagi kesalahan pemerdagangan orang,” tegasnya.

Bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta ATIPSOM, pekerja atau ejen boleh dihukum dengan penalti yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI