PETALING JAYA – Menjadi satu keperluan untuk setiap pengurusan kedai makan memastikan peralatan yang digunakan termasuklah pinggan, cawan serta sudu dibasuh dengan bersih sebelum ia digunakan oleh pelanggan.
Namun, berbeza dengan situasi kali ini memaparkan tindakan seorang pekerja sebuah kedai makan hanya mencelup pinggan ke dalam air yang terisi di tong sampah.
Perbuatan jijik itu sempat dirakam oleh pengguna X, Elyas Yusri yang secara kebetulan berada di sekitar kawasan kedai makan tersebut.
Difahamkan, lokasi premis terbabit berada di Taman Botanik, Klang.
“Kita ni dah lah selalu lepak mam**, sekali nampak benda macam ini depan mata nak muntah. Basuh pinggan celup-celup dalam tong sampah.
“Speechless (tak terkata), nah korang (untuk semua) tengok lah sendiri, tak ada lah tekak aku seorang loya,” ciapnya pada kelmarin.
Sehubungan itu, Elyas memaklumkan dia segera menegur pekerja terbabit sambil merakam situasi tersebut dengan lebih dekat sehingga menampakkan air kotor yang bertakung di dalam tong sampah berkenaan.
“Untuk pengetahuan semua, aku tegur terus lepas itu. Pekerja itu boleh cakap, oh tong sampah itu untuk rendam sahaja. Berderau darah aku.
“Kalau ye beli lah besen besar ke apa. Aku tak nak sebut nama kedai. Tapi mam** ini dekat Bandar Botanik, Klang, kedai ‘corner lot’,” jelasnya.
Dalam masa sama, Elyas turut meminta orang ramai yang pernah ke lokasi atau berada di premis terbabit untuk berhati-hati dan pantau tahap kebersihan di sana.
“Siapa selalu lepak situ, tolong semakkan. Jika masih sama, tolong buat aduan rasmi,” pintanya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen ramai yang menyeru pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat pemantauan ke kedai makan tersebut.
“KKM, PBT, pihak berkuasa cepat turun pantau mana perlu. Kalau begitu cara basuh pinggang, memang kotor, ambil tindakan sita kedai terbabit. Mana boleh rendam pinggan mangkuk dalam tong sampah,” tegur Kusyairi.
“Geli…kalau ya pun untuk basuh sahaja, kotor gila,” ciap Izkir.
“Sebelah pejabat saya sahaja ini, pernah nampak pekerja dia kencing dalam longkang belakang kemudian lap pada apron dia sahaja,” kongsi Queen. – KOSMO! ONLINE
Kita ni dah lah selalu lepak mamak, sekali nampak benda macam ni depan mata nak muntah mat 🤢 basuh pinggan celup2 dalam tong sampah. Speechless. Nah korang tengok lah sendiri, takdelah tekak aku sorang loya.
Btw aku tegur terus lepas tu. pic.twitter.com/mWmLrraB0x
— Elyas Yusri (@elyasyusrizal) January 6, 2024