PETALING JAYA – Tular satu klip video di media sosial ketika ini yang menunjukkan ribuan ikan didakwa terdampar berdekatan sebuah pantai di Masiim di wilayah Sarangani, Mindanao, Filipina.
Klip video kejadian tersebut mula ditularkan oleh seorang wanita di Facebook dan dilaporkan kejadian aneh itu berlaku pada 7 Januari lalu.
Berdasarkan gambar dan video yang dimuat naik oleh wanita terbabit, dapat dilihat ribuan ikan yang terdampar itu masih hidup dan melompat-lompat.
Difahamkan penduduk di kawasan tersebut juga dilihat berkumpul di kawasan pantai berkenaan bagi menangkap ikan-ikan dan menganggap kehadiran ikan itu sebagai rezeki tahun baharu.
Rata-rata pengguna media sosial juga menyifatkan kejadian pelik itu kemungkinan permulaan kepada berlakunya sebarang bencana alam seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.
“Kejadian ni sama seperti yang berlaku sebelum bencana tsunami di Jepun awal 2000-an dulu. Jangan seronok sangat, diharapkan tiada apa yang teruk berlaku,” kata Semusa Marco.
“Sama-sama kita berdoa agar bumi kita dihindari bencana besar,” tulis salah seorang pengguna Facebook.
Namun ada juga penduduk sekitar yang khuatir yang kemungkinan kejadian aneh itu merupakan petanda bencana besar bakal berlaku.
Terdahulu, portal berita Sky News telah melaporkan, kejadian sama turut berlaku di tepi sebuah pantai di utara Jepun.
Menurut laporan itu, bangkai-bangkai ikan yang kebanyakkan terdiri daripada spesies ikan sardin dan tenggiri itu ditemui terdampar di Hakodate, sebuah pulau utama di utara Hokkaido. -KOSMO! ONLINE