fbpx

Tiga beradik terus ‘cipta mimpi’ menerusi fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri: Amirah, Nurul dan Syahira.

JENAMA fesyen tempatan yang cukup popular khususnya dalam kalangan wanita berhijab, Mimpikita sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Diasaskan oleh tiga beradik perempuan sejak 15 tahun yang lalu, label yang mempunyai potongan signatur dan motif cetakan tersendiri itu semakin berkembang apabila menutup tirai 2023 dengan pembukaan butik flagship pertamanya bertempat di pusat beli-belah The Exchange TRX, Kuala Lumpur.

Nurul Zulkifli dan dua adiknya, Amirah dan Syahira menzahirkan rasa bangga serta teruja apabila menjadi antara jenama fesyen tempatan yang membuka butik di pusat beli-belah serba mewah itu yang banyak menempatkan butik-butik jenama antarabangsa.

Nurul selaku Ketua Pegawai Eksekutif Mimpikita berkata, selain mengembangkan lagi fesyennya, pembukaan butik flagship itu juga melambangkan aspirasi jenama itu untuk terus meraikan kepelbagaian menerusi seni fesyen.

“Butik ini menjadi bukti aspirasi dan impian kami bersama.

“Justeru, saya berharap supaya kami terus mencipta mimpi yang lebih besar menerusi seni dan juga fesyen,” katanya kepada Stailo sambil menambah bakal membuka beberapa buah lagi butik Mimpikita pada tahun ini.

Sempena pembukaan butik itu juga, Mimpikita turut memperkenalkan koleksi terbaharu mereka iaitu #HerStory dan juga Comfort Curated.

Menerusi #HerStory, label itu menyerlahkan gaya anggun wanita menerusi busana seperti baju kimono berlabuci dan juga skirt pleated berkilauan.

MImpikita dikenali dengan potongan signatur dan motif cetakan tersendiri pada busana dan aksesorinya.

Malah, koleksi itu juga memper­kenalkan aksesori seperti selendang dan juga beg tote, hasil kolaborasi eksklusif bersama pelakon terkenal yang juga peminat besar Mimpikita iaitu Elfira Loy.

Bagi Comfort Curated pula, ia menampilkan seleksi busana selesa daripada loungewear set, dres dan juga baju kemeja lengan pendek daripada material linen.

Kolaborasi tersebut sejajar dengan nilai jenama Mimpikita iaitu ‘mengejar Impian bersama, meraikan satu sama lain’.

Nurul berkata, untuk tahun ini, Mimpikita juga bakal mengeluarkan koleksi busana Hari Raya Aidilfitri kelak dengan mengetengahkan konsep klasik dan elegan yang sudah menjadi signatur jenama itu sejak bertahun lamanya.

“Selain koleksi Aidilfitri, kami juga sudah pun melancarkan koleksi Kita & Co yang terdiri daripada busana untuk lelaki.

“Begitupun, bagi koleksi ini, kami tidak tergesa-gesa dan hanya melancarkannya dalam jumlah yang sedikit terlebih dahulu memandangkan kami perlu belajar lebih banyak lagi tentang potongan pakaian lelaki,” kongsinya.

Kita & Co juga menampilkan pakaian kanak-kanak, khusus buat ibu bapa yang mahu menggayakan anak-anak mereka dengan busana sedondon daripada Mimpikita.

Kongsi Nurul lagi, perjalanan mengusahakan sebuah perniagaan fesyen bersama adik-beradik turut mempunyai cabarannya tersendiri.

Apapun, dia melihatnya sebagai sesuatu yang bermakna, malah cabaran sedemikian juga membantu mereka untuk bekerja lebih keras lagi.

“Antara cabaran terbesar adalah untuk menguruskan orang lain.

“Hal ini kerana setiap daripada kita mempunyai karakter dan sikap masing-masing yang menjadikan aspek pengurusan itu sesuatu yang cukup mencabar,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI