PEMAIN pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Syafiq Hassan menganggap tersenarai dalam barisan 18 terbaik menghadapi Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman bermula 15 Januari ini sebagai hadiah perkahwinan terbaik buat dirinya.
Syafiq, 26, sebelum ini tersisih daripada skuad ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September lalu disebabkan mengalami kecederaan lutut.
Kini, semangatnya berkobar-kobar untuk membantu Speedy Tigers menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 walaupun baru melangsungkan perkahwinan dengan bekas pemain skuad hoki wanita negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim pada 23 Disember lalu.
“Saya memang langsung tak jangka nama akan tersenarai untuk kelayakan (Olimpik) sewaktu majlis kahwin sebelum ini. Sekarang saya rasa lagi teruja untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan.
“Saya tak fikir lagi bab bulan madu, malah isteri pun suruh saya fokus bantu skuad negara. Saya anggap ini sebagai hadiah perkahwinan dan mungkin ada rezeki kami dapat layak ke Sukan Olimpik setelah sekian lama.
“Saya dah sembuh sepenuhnya dan tahap kecergasan serta intensiti saya juga sama dengan pemain-pemain lain. Saya fokus satu demi satu perlawanan dan mahu berikan yang terbaik di sana nanti,” katanya.
Kali terakhir bintang Maybank itu menyarung jersi negara ketika meraih naib juara Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India pada Ogos tahun lalu.
Sebagai rekod, skuad bimbingan A. Arul Selvaraj akan memulakan kempen Kelayakan Olimpik dalam Kumpulan A menentang China pada 15 Januari diikuti Great Britain (17 Januari) dan Pakistan (19 Januari).
Jika berjaya meraih tiga terbaik di Oman, ia akan menamatkan penantian 24 tahun Malaysia beraksi di Olimpik sejak kali terakhir membuat penampilan di Sydney, Australia pada 2000.