KUALA LUMPUR – Sejumlah RM134.6 juta telah diperuntukkan menerusi Program Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi membantu lebih 16,700 usahawan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, berkata, Malaysia terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul.
Ujarnya, komitmen ini juga mengambil kira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang telah menetapkan sasaran yang jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025.
“Ia termasuk seperti sumbangan 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 15 peratus kepada eksport, 3.5 peratus dalam purata pertumbuhan produktiviti buruh dan 90 peratus PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka.
“Jadi untuk SME Corp, kita beri bantuan kepada semua PMKS di mana-mana sektor sama ada perkhidmatan, pembuatan, even pembinaan dan juga pertanian. Namun demikian, di bawah program-program SME Corp yang menjurus,” katanya di sidang media SME Corp. Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy, berkata, SME Corp. Malaysia menyasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun 2024 melalui peruntukan sebanyak RM134.6 juta ini.
Jelasnya, PMKS pada asasnya beri beri bantuan kepada semua usahawan di mana-mana sektor. Namun, di bawah program-program PMKS yang menjurus ke arah industri berimpak tinggi, mereka memfokuskan kepada beberapa industri.
“Ia seperti peranti perubatan, pertanian pintar, aeroangkasa, elektronik elektrik, teknologi bio, dan juga halal antara merupakan satu industri yang penting yang akan memberi impak yang besar kepada ekonomi.
“Industri berimpak tinggi itu adalah kita nak hasilkan lebih ramai lagi usahawan PMKS yang akan menyumbang lebih banyak lagi sumbangan kepada KDNK dan juga nilai eksport negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) yang dihentikan sementara sebelum ini berikutan komitmen yang telah melebihi peruntukan, akan kembali ditawarkan kepada PMKS pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM55 juta.
Selain itu, SME Corp. Malaysia akan terus melaksanakan program utama lain seperti Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Pengukuhan Eksport, Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) serta Program BizMe bagi pembangunan perusahaan inklusif. – KOSMO! ONLINE