KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan sebahagian pernyataan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), boleh digunakan pada prosiding mencabar kredibiliti ahli perniagaan itu pada perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.
Hakim Azura Alwi memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan sejumlah 31 daripada 108 muka surat kepada pihak pendakwaan sebelum tarikh sebutan pada 17 Januari ini. Prosiding selanjutnya dijadual pada 26 dan 27 Februari ini.
Pernyataan itu melibatkan muka surat 5 hingga 14, 23 hingga 27, 52 hingga 53, 69 hingga 72 dan 99 hingga 108.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya memerlukan tempoh selama dua minggu untuk menyediakan salinan pernyataan tersebut manakala baki muka surat perlu `digelapkan’.
Dalam prosiding itu, Azura turut melapangkan tarikh perbicaraan yang sepatutnya disambung pada 16 dan 17 Januari ini.
Sementara itu, peguam R.S.N. Rayer berkata, wujud perkembangan baharu dalam kes tersebut apabila Gobind Singh Deo tidak lagi mengetuai pasukan pembelaan selepas menganggotai Kabinet, Disember lalu.
Dalam pada itu, peguam Haijan Omar memohon agar perbicaraan pada 16 dan 17 Januari dilapangkan kerana pihak pembelaan memerlukan masa untuk meneliti pernyataan yang diserahkan sebelum memulakan prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad.
Pada 17 November 2023, pihak pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah keseluruhan kandungan pernyataan setebal 108 muka surat untuk diteliti terlebih dahulu.
Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. – KOSMO! ONLINE