PUTRAJAYA – Prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap sebuah syarikat yang mengendalikan umrah serta dua pengarah syarikat itu atas kesalahan gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) ditangguhkan ke 15 Januari ini.
Sepatutnya hari ini syarikat itu serta dua pengarahnya difahamkan berdepan dengan 63 pertuduhan gagal mematuhi perintah TTPM supaya membayar balik kepada 21 mangsa yang menuntut wang lebih setengah juta ringgit.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan kedua-dua pengarah itu selaku Orang Kena Saman (OKS) tersebut dijangkiti Covid-19.
Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria berkata, hari ini telah ditetapkan untuk pertuduhan dan terdapat 63 pertuduhan ke atas kesemua OKS.
“Saman telah dikeluarkan pada 5 Januari lalu. Namun kedua-dua OKS (pengarah syarikat) tidak dapat hadir kerana Covid-19. Kami pohon tarikh prosiding seterusnya pada 15 Januari ini,” katanya.
Sementara itu peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili kesemua OKS mengesahkan kedua-dua anak guamnya dijangkiti Covid-19 selain turut bersetuju dengan tarikh baharu yang telah ditetapkan.
“Saya serahkan salinan paparan MySejahtera (bukti anak guam dijangkiti COVID) kepada mahkamah. OKS selesai menjalani kuarantin masing-masing pada 11 dan 12 Januari ini,” katanya.
Pada 8 Julai tahun lalu, media melaporkan lesen syarikat tersebut digantung selama enam bulan hingga 9 Januari tahun ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Kemudian pada 23 November tahun sama, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati syarikat tersebut menggunakan duit jemaah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh syarikat terbabit kerugian bernilai RM14.2 juta sejak Januari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE