PETALING JAYA – “Kau kata nak pergi kenduri kahwin saja, nak solekan RM50. (Rupa-rupanya) kau pengantin. Muka kalau ‘elok’ tak apa”.
Demikian luahan @amyzah86 di laman TikToknya atau lebih dikenali sebagai ‘mak andam bajet Melaka’.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik, dia meluahkan rasa geram dengan sikap seorang pengantin yang sanggup menipu semata-mata untuk mendapatkan harga solekan yang murah.
“Peliklah korang ni. Macam-macam kes tau. Korang sanggup bohong mak andam bajet Melaka. Kau nak bertunang tapi kau beritahu kami nak solek pergi majlis sahaja.
“Kau dah kenapa dik? Tak berkat tahu. Esok kau tunang tiba-tiba putus. Sebab apa? Belum tunang lagi kau dah membohong,” katanya.
Tambahnya, wanita yang sama itu turut menipu mengenai inai ditangan apabila memaklumkan dia sudah berkahwin.
“Kau kata kau dah kahwin dan kau memang suka pakai inai. Ini kau menipu akak lagi,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna simpati ke atas mak andam tersebut.
“Kenapa banyak ‘make up artist’ (MUA) Melaka kena tipu ni? Ya Allah kesiannya,” komen Farah.
“Saya pernah juga jadi macam tu. Tapi pengantin tu kantoi sebelum saya mula solekkan dia. Saya cakap saya tak akan mula solek kalau dia tak mengaku. Rupanya dia memang pengantin,” luah @mua.yana.
“Saya faham. Bila solek majlis tapi buat sanding, barang yang digunakan tak sama. Kalau solek sanding nikah ada pertambahan barang untuk buatkan solekan lebih tahan lama,” tulis seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE