SEOUL – Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) melarang pembiakan, penyembelihan dan penjualan anjing bagi tujuan untuk mendapatkan daging haiwan berkenaan.
Perbuatan makan daging anjing merupakan amalan tradisional yang sudah lama dikritik oleh aktivis-aktivis sebagai memalukan negara.
Parlimen Korea Selatan sebulat suara meluluskan RUU tersebut . Ia akan berkuat kuasa selepas tempoh penangguhan selama tiga tahun dan selepas menerima kelulusan akhir daripada Presiden Yoon Suk-yeol.
Apabila berkuat kuasa kelak, mereka yang membiak, menjual dan menyembelih anjing untuk dagingnya boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda 30 juta won (RM106,950).
Daging anjing sudah lama menjadi sebahagian daripada masakan Korea Selatan, dan pada satu ketika, sehingga sejuta ekor anjing dipercayai dibunuh untuk mendapatkan dagingnya pada setiap tahun.
Bagaimanapun, permintaan daging anjing menurun secara mendadak baru-baru ini selepas majoriti rakyat Korea Selatan menganggap anjing sebagai haiwan peliharaan.
Makan daging anjing kini dianggap pantang larang dalam kalangan golongan muda Korea Selatan.
Sokongan rasmi untuk larangan itu berkembang di bawah pimpinan Suk-yeol. Beliau merupakan seorang pencinta haiwan dan telah mengambil beberapa ekor anjing dan kucing jalanan untuk dipelihara.
Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon-hee juga seorang aktivis yang lantang mengkritik pengambilan daging anjing. – AFP