KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH), dua tahun lalu.
Hakim, Mohd. Kafli Che Ali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Agus Rizal Mat Ali, 52, di akhir kes pendakwaan.
Ketika keputusan tersebut, Hakim Mohd. Kafli berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lapan saksi, hujahan, meneliti autoriti yang dikemukakan selain mencapai penilaian maksimum.
“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, oleh itu tertuduh diperintah membela diri. Kamu diberi tiga pilihan iaitu pertama, membela diri dengan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi dan boleh disoal balas, kedua memberi keterangan dalam kandang secara tidak bersumpah, tanpa disoal balas atau ketiga berdiam diri,” katanya.
Sementara itu, peguam, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili Agus Rizal berkata, anak guamnya memilih membela bagi pilihan pertama.
“Bagaimanapun, pembelaan belum melengkapkan senarai saksi yang akan dipanggil kelak,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bela diri berlangsung selama dua hari pada 23 Februari dan 1 Mac depan.
Dalam kes ini, pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Akmalzatul Mohd Nawi.
Pada 9 Ogos 2022, Agus Rizal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH), pada Mei 2022 lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang pengarah syarikat itu, telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H di media sosial Facebook milik syarikat itu.
Perbuatan didakwa dilakukan dengan cara mengiklankan bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan ke tanah suci bagi menunaikan haji.
Sedangkan syarikat itu tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada TH, di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di sini pada 9 Mei dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE