MADRID – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dijangka menyertai gergasi La Liga, Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas nanti selepas dilaporkan sudah mencapai kata sepakat dengan juara Eropah 14 kali itu.
Usaha Los Blancos untuk mendapatkan pemain idaman itu bakal menjadi kenyataan selepas percubaan mereka dalam dua jendela perpindahan sebelum ini menemui kegagalan.
Situasi Mbappe yang bebas melakukan rundingan dengan mana-mana kelab bermula bulan ini turut membantu usaha Real membawa bintang Perancis itu ke Santiago Bernabeu.
Bagaimanapun, pakej kewangan yang ditawarkan kepada Mbappe dikatakan jauh lebih rendah berbanding tawaran dikemukakan Real kepada bekas pemain AS Monaco itu ketika rundingan awal tahun lalu.
Sebaik sahaja Mbappe dikhabarkan bakal menyertai Real, Liverpool antara pasukan yang ‘berputih mata’ memandangkan The Reds juga pernah menyatakan hasrat mendapatkan khidmatnya bagi bersaing dengan Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tahun lalu, Real sudah hampir mendapatkan Mbappe pada jendela perpindahan musim panas, namun dia mengambil keputusan untuk kekal di Parc des Princes sehingga kontraknya tamat penghujung musim ini.
Kepulangan semula ibu Mbappe, Fayza Lamari sebagai ejen yang menguruskan kariernya menjadi antara faktor utama dalam memastikan ‘saga’ perpindahan itu menemui titik noktah. – AGENSI