SHAH ALAM – Seramai lapan majikan dan 766 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen di seluruh negara dalam tempoh lima hari, bulan ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan kesemua individu itu dilakukan menerusi 168 operasi penguatkuasaan.
Tegas beliau, operasi seumpama itu tidak terhenti terutama melibatkan lokasi tumpuan yang dipergiatkan secara berterusan oleh pihak berkuasa.
“Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen juga ada mengenal pasti lokasi ‘hot spot’ pendatang asing.
“Sepanjang tempoh hanya lima hari iaitu sehingga 5 Januari lalu, pemeriksaan sudah dijalankan ke atas seramai 2,049 orang warga asing,” katanya selepas meninjau Jabatan Imigresen Selangor bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 di Kompleks PKNS di sini, petang ini.
Beliau mengulas usaha dan tindakan tegas kerajaan dalam membanteras PATI terutama di sekitar ibu negara termasuk Jalan Silang, baru-baru ini.
Jelas Saifuddin, kerajaan sememangnya amat mengalukan kedatangan pelancong asing ke negara ini.
“Namun, kita masih perlu menegakkan undang-undang sedia bagi memastikan semua pihak peraturan ditetapkan. Ini termasuk tindakan lanjut ke atas mana-mana majikan warga tempatan yang didapati mengingkarinya,” ujarnya.
Beliau menambah, pihaknya turut melihat keupayaan kapasiti menampung pendatang asing di 21 depoh Imigresen sedia ada.
“Setakat ini, seramai 12,188 warga asing ditempatkan di semua depoh berkenaan berbanding kapasiti maksimum iaitu 19,000 orang. Tindakan menerusi pendakwaan kes di mahkamah akan menentukan hukuman kepada mereka termasuk menghantar pulang ke negara asal,” katanya. – KOSMO! ONLINE