BEIRUT – Tentera Israel membunuh komander pergerakan Hizbollah, Wissam Hassan Tawil dalam satu serangan di selatan Lebanon semalam, kata seorang pegawai keselamatan ketika ketegangan semakin meruncing di tengah-tengah perang Gaza.
Kumpulan Hizbollah dalam satu kenyataan mengesahkan tentang pembunuhan seorang komandernya buat kali pertama sejak pertempuran di sempadan Lebanon-Israel tercetus tiga bulan lalu.
Sumber keselamatan memberitahu agensi berita AFP bahawa Wissam memainkan peranan utama dalam menguruskan operasi Hizbollah di selatan Lebanon, berhampiran sempadan Israel.
Pegawai yang enggan namanya didedahkan itu berkata, Wissam yang juga memegang beberapa jawatan tinggi dalam Hizbollah, terbunuh selepas Israel membedil kereta yang dinaikinya.
Sementara itu, tentera Rejim Zionis berkata, pihaknya menyerang pangkalan tentera Hizbollah di Lebanon semalam tetapi tidak mengulas mengenai kematian Wissam.
Tiga sumber memberitahu agensi berita Reuters bahawa Wissam ialah timbalan ketua unit Pasukan Radwan Hizbollah.
Ia merupakan pasukan khas pergerakan tersebut. – AFP