KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengalami nasib sama seperti tahun lalu apabila sekali lagi tersingkir di pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.
Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini, beregu No.25 dunia itu tewas menerusi aksi straight-set 11-21, 16-21 kepada pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.
Gagal menyerap tekanan selain melakukan banyak kesilapan mudah dilihat menjadi punca bekas beregu No.5 dunia itu terpaksa melupakan kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 tersebut lebih awal.
“Saya rasa perlawanan hari ini memang sangat kecewa kerana kami tidak dapat tampilkan aksi terbaik. Namun, saya mahu cakap bahawa kami sudah berikan segala-galanya walaupun kalah.
“Ketika di set kedua, (pemain) Korea cuba naikkan tempo permainan dan pukulan. Memang kami cuba untuk mengatasinya, namun terlalu banyak kesilapan mudah yang dilakukan,” kata Kian Meng ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Untuk rekod, Kian Meng-Pei Jing turut tersingkir di pusingan pertama musim lalu selepas tewas kepada rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, juga menerusi aksi straight-set 15-21, 10-21. – KOSMO! ONLINE