fbpx

K2

Kemeriahan acara larian malam lampu isyarat di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pelari melalui laluan sepanjang 7 kilometer di sekitar pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

SATU acara larian yang berlangsung di Putrajaya hujung tahun lalu disambut penuh meriah apabila dihadiri oleh lebih 8,000 pengunjung.

Program Putrajaya Green Light Run 2023 yang berlangsung di Anjung Floria Putrajaya awal Disember lalu diadakan sebagai menutup tirai 2023.

Menampilkan larian pada sebelah malam, perlumbaan yang diinspirasikan daripada acara larian di Tokyo, Jepun itu dianjurkan oleh Tune Advertising Sdn. Bhd. dengan kerjasama beberapa pihak seperti Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Tourism Malaysia.

Keunikan acara itu terletak pada konsep lariannya yang mana para pelari perlu mengatasi masa lampu isyarat. Pelari hanya boleh berlari semasa lampu isyarat berwarna hijau dan melepasinya sebelum ia bertukar merah.

Pelari-pelari melalui laluan sejauh tujuh kilometer di Putrajaya yang demografinya sedia memiliki prasarana lampu-lampu isyarat.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising Sdn. Bhd., Muhammad Hafiz Rozlan berkata, keunikan larian berkonsep seumpama itu yang pertama di negara ini memerlukan peserta berlawan dengan kepantasan lampu isyarat sekali gus membezakan perlumbaan ini dengan pertandingan lain.

“Inilah keistimewaan Putrajaya Green Light Run yang bukan sahaja memerlukan peserta bersaing dengan pelari lain, bahkan menguji kekuatan tenaga serta mental semua pelumba mengatasi kepantasan masa lampu isyarat bertukar warna.

“Sekiranya pelari gagal melepasi waktu selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu warna lampu berubah hijau semula.

“Melihat demografi jalan utama di pusat pentadbiran negara ini yang unik dengan adanya beberapa lampu isyarat di sepanjang laluan perlumbaan, kami yakin cabaran larian sejauh tujuh kilometer itu juga membuatkan peserta teruja untuk ke garisan penamat,” katanya sewaktu pelancaran acara.

Program telah disempurnakan oleh Ahmad Maslan.

Majlis pelancaran serta perlepasan perlumbaan disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan berkata, keindahan serta kelebihan ditawarkan Putrajaya yang juga pusat pentadbiran negara itu menjadi bonus buat penganjur serta peserta program memanfaatkan segala kemudahan sekali gus menikmati keindahan lokasi tarikan ramai.

“Kita boleh nampak potensi Putrajaya dalam pembangunan sukan riadah atau aktiviti seumpamanya melihatkan keadaan lokasi ini yang boleh dijadikan hab bagi program seumpamanya.

“Jadi jangan sia-siakan kemudahan sedia ada yang boleh dimanfaatkan bagi pelbagai aktiviti dan acara terutama membabitkan gaya hidup sihat.

“Seperti penganjuran larian Putrajaya Green Light Run ini, perlumbaan mengejar lampu isyarat sesuatu yang unik sekali gus mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.

Terdahulu, cabaran larian bermula pukul 8.30 malam itu memerlukan pelari mempunyai stamina, strategi dan memberikan fokus dalam melepasi semua lampu isyarat di sepanjang laluan.

KIRI: Penyanyi, Ernie Zakri turut menghiburkan para pengunjung.

Pada masa sama, katanya, Putrajaya Green Light Run 2023 yang turut berkonsepkan karnival yang bermula pada sebelah siang itu juga sarat dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya adalah sesi karaoke terbuka, permainan pentas, lukisan wajah kanak-kanak, bazar makanan, zumba bersama penyanyi Nas Adilla, belon udara panas dan konsert mini membariskan artis popular tanah air.

“Selain acara larian, pengunjung turut dihiburkan persembahan konsert terbuka dihoskan penyampai radio popular, Fara Fauzana dengan barisan penyanyi terdiri daripada Ernie Zakri, Afieq Syazwan, Amir Masdi dan ramai lagi.

“Sambil menikmati pilihan seleksi lagu hits secara ‘live’ dan merasai suasana di Putrajaya, pengunjung seisi keluarga boleh menyertai pesta jualan selain mengikuti pelbagai aktiviti menarik termasuk belon udara panas.

“Ini juga antara tujuan untuk masyarakat sekitar mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah bersama sahabat dan keluarga sekali gus mempromosi Putrajaya sebagai destinasi riadah waktu malam,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Tune Advertising Sdn. Bhd. turut menawarkan hadiah berupa baucar Decathlon, skuter elektrik, televisyen pintar 55 inci serta sebuah motosikal model Modenas untuk cabutan bertuah kepada peserta.

Acara ini ditaja VFive Group, Gloria Jeans, 1901 Hotdog dan Decathlon dengan penganjuran bersama Kelab Kita Kasih Malaysia dan Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI