fbpx

Kalau ada ‘penyerang hendap’ buru, umi ada di depan – Shakilla Khoriri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAKILA bersama anaknya, Ameena Sofea.

PETALING JAYA – Pelakon Shakilla Khoriri mengakui kesilapan dilakukan mengakibatkan kehidupan anaknya, Ameena Sofea, tidak sama seperti kanak-kanak lain.

Kata pemilik nama sebenar Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, dia kasihan melihat situasi dilalui anak kecil berusia lima tahun itu yang menjadi mangsa keadaan apabila terkena tempias konflik antaranya dengan bekas suami, Fizi Ali.

“Anakku sayang, terima kasih kerana hadir dalam hidup umi (panggilan Shakilla) saat umi memang tunggu awak datang. Awak datang dan membawa seribu rahmat dan kebaikan dalam hidup umi.

“Tapi kesilapan dan kesalahan umi buatkan awak tergelincir dalam perjalanan awak. Kehidupan awak serta merta berubah. Tak lagi sama macam kawan-kawan sebaya awak.

“Awak terpaksa menjadi dewasa sebelum sampai waktunya. Awak terpaksa melalui jalan lain yang disebelah awak ada umi yang pastinya suatu perjalanan yang kurang menyeronokkan untuk awak,” katanya dalam Instagram.

Dalam perkongsian sama, aktres berusia 34 tahun itu berkata dia berjanji akan sentiasa bersama puterinya dalam setiap keadaan, sekali pun timbul halangan, selain sanggup berkorban apa saja.

“Sebab itu, awak sentiasa nombor satu dalam segala hal yang umi rancangkan. Awak sentiasa dalam apa jua kejadian, tanpa ragu-ragu umi tetap pilih awak walaupun umi
terpaksa berkorban atau kehilangan.

“Tempat awak tak pernah jatuh, tak pernah goyah dalam hati dan hidup umi. Kalau ada ‘penyerang hendap’ yang memburu awak, umi akan akan ada depan awak.

“Biar segala kesakitan, kesedihan atau kesusahan umi yang rasa bukan awak. Awak tak layak untuk rasa semua tu tapi awak layak mendapatkan lebih dari yang sepatutnya,” ujarnya.

Luah Shakilla lagi, walaupun Ameena masih kecil, dia pasti anak tunggalnya itu juga mempunyai keyakinan suatu hari nanti hidupnya kembali penuh warna ceria.

“Satu hari awak akan faham perjalanan yang kita tempuh ni bagaimana dan kenapa. Mungkin hari ni awak terjatuh dan berfikir awak tak mampu lagi sebaris dengan kawan-kawan awak untuk berlari dalam laluan yang sama.

“Tapi umi janji, umi akan bentangkan sebuah padang yang besar dan cantik untuk awak berlari seorang. Bermain dan berlarilah sepuasnya bila tiba masanya,” katanya.

Menurut pelakon yang turut bergelar pengacara itu, sebagai ibu dia akan terus mempertahankan maruah mereka biar terpaksa bertegas dalam sesuatu keadaan.

“Kita lalui ini lebih kurang 5 tahun dan kita akan terus berjalan.
Pegang tangan umi kuat-kuat sebab adakala umi akan tarik tangan awak kasar sebab umi tak mungkin lepaskan tangan Ameena walaupun macam mana sekali pun.

Kita sama-sama cari perjalanan dan laluan yang baik dan paling cantik untuk kita nikmati dan bermain. Bagi umi masa, umi janji.

“Allah anugerahkan awak sebaik-baiknya untuk umi, seorang pendosa, tak mungkin umi akan rampas kebahagian awak. Umi hanya melindungi dan pertahankan hak dan maruah anak Umi,” tambahnya.

Konflik antara Shakilla dan Fizi berkaitan hak penjagaan Ameena masih berterusan malah penyampai radio itu juga telah membawa isu terbabit ke mahkamah.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021, kemudiannya Fizi berkahwin dengan usahawan, Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI