fbpx

Josue utamakan misi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOSUE tidak kisah walaupun hanya diturunkan bermain 10 minit asalkan kehadirannya dapat membantu Harimau Malaya mencapai objektif Piala Asia. - FB FAM

PERANCANG Harimau Malaya, Paulo Josue sanggup ketepikan keinginan peribadi untuk mendapat lebih banyak waktu permainan dengan memberikan fokus merealisasikan misi pasukan pada kempen Piala Asia bermula 13 Januari ini.

Josue, 34, menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk menentukan waktu permainannya di bumi Qatar biarpun ada dakwaan mengatakan tonggak naturalisasi itu tidak mampu bermain 90 minit penuh.

Sebaliknya, kapten Kuala Lumpur City FC (KL City) itu akan menggunakan segala pengalaman dan kemampuannya buat Harimau Malaya walaupun jika diturunkan bermain 10 minit sahaja.

“Saya di sana untuk membantu selagi jurulatih berkeyakinan dengan saya. Beliau (Pan-gon) sebenarnya sudah berikan peluang dengan membawa saya mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

“Saya akan pastikan diri dalam keadaan terbaik untuk membantu rakan sepasukan. Tak kiralah 10, 15, 30 atau 90 minit, apa sahaja yang jurulatih mahukan, saya akan bersedia.

“Kami perlu berlari dan bekerja lebih daripada pasukan lawan. Kami perlu berikan yang paling baik kami ada apabila turun ke perlawanan sebenar nanti,” katanya.

Josue telah bermain 524 minit dalam lapan aksi antarabangsanya termasuk enam perlawanan persahabatan dan dua kelayakan Piala Dunia sejak membuat debut bersama Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan pada 23 Mac lalu.

Penjaring terbanyak Piala AFC 2022 dengan lima gol itu sudah berjaya mengumpul empat koleksi jaringan bersama Harimau Malaya termasuk hatriknya ketika menewaskan Papua New Guinea 10-0 pada Jun lalu.

Sebagai rekod, Harimau Malaya yang bermain aksi persahabatan menentang Syria malam tadi, akan membuka kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari diikuti Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI