PETALING JAYA – Seramai 68 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur pusat-pusat urut dan spa dalam Ops Gegar dan Ops Dandan di sekitar Johor Bahru, Johor kelmarin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan tersebut membabitkan 39 orang wanita dan 27 orang lelaki, berusia antara 19 hingga 42 tahun.
Katanya, kesemua yang ditangkap terdiri daripada warga Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar dan Pakistan.
“Seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang perempuan warganegara Vietnam berusia 51 tahun dan 32 tahun yang dipercayai penjaga premis turut ditahan.
“Hasil semakan awal mendapati warganegara asing ini menggunakan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki untuk bekerja dengan majikan atau syarikat yang lain di negara ini.
“Manakala terdapat warganegara asing lain yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pasukan operasi tersebut turut merampas kunci premis, enam passport Vietnam, 19 helai tuala, tujuh set peralatan mengurut, dua set peralatan perawatan kuku, sebuah telefon, beberapa buku rekod pelanggan dan wang tunai berjumlah RM844.
“Premis-premis ini dipercayai telah beroperasi lebih satu tahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak sekitar RM140,000 sehari dan boleh mencecah RM4.2 juta sebulan.
“Warganegara asing yang bekerja di premis-premis ini dibayar gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan oleh majikan,” jelasnya.
Menurut beliau, kesemua warganegara asing ditahan ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor dan sebanyak 13 notis hadir ke pejabat dikeluarkan dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE