PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda hampir seluruh negara mulai hari ini sehingga Khamis.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melibatkan satu dua tempat di Pahang, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta beberapa kawasan di Sabah, pagi ini.
Pada sebelah petang pula, ribut petir diramalkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Bagi sebelah malam, hujan lebat dijangka membabitkan satu dua kawasan di Pahang, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan beberapa kawasan pedalaman di Perak serta Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah dijangka mengalami hujan lebat di satu atau dua tempat, pada pagi esok.
“Bagi waktu petang dan malam pula, seluruh negara diramalkan mengalami ribut petir di satu dua tempat kecuali di Perlis,” ujarnya.
Sementara itu pada pagi Khamis, dijangkakan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mengalami cuaca buruk di satu dua tempat.
“Bagi sebelah petang dan malam, ribut petir diramalkan melanda di satu dua tempat di seluruh negara kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE