fbpx

Cadangan sedia rumah pelacuran galakkan maksiat – Mufti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Salim.

GEORGE TOWN – Cadangan seorang pelakon senior agar disediakan rumah pelacuran untuk pekerja asing seolah-olah menggalakkan maksiat di negara ini, sedangkan ramai dalam kalangan pekerja asing itu terdiri daripada mereka yang beragama Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia berikutan zina adalah satu jenayah yang amat jelik kerana boleh mengakibatkan kerosakan yang besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

“Malah pekerja bukan beragama Islam sekalipun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan yang hina itu. Sesungguhnya tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus ke dalam jurang yang keji dan merosakkan ini,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, seorang pelakon senior meraih perhatian umum apabila mengemukakan cadangan agar rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka di negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, sepatutnya semua pihak sama-sama saling membantu ke arah kebaikan dan keluhuran budi pekerti.

”Kita juga sepatutnya mengingatkan pekerja-pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri di dalam perlakuan yang keji ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak.

“Di samping itu, mewujudkan rumah pelacuran di negara ini amat bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam perlembagaannya.

“Para pekerja asing perlu dimaklumkan tentang hakikat ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI