fbpx

Bekas Exco Terengganu, Za’abar meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Za'abar.

DUNGUN – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, Datuk Za’abar Mohd. Adib meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di rumahnya di Tanjung Jara di sini hari ini.

Za’abar, 70, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu ditemui terbaring dipercayai terjatuh di bilik solat rumahnya pada pukul 1.39 tengah hari.

Anaknya, Shafiq, 35, berkata, Allahyarham bapanya tinggal berseorangan sementara dia bekerja di pusat bandar Dungun.

“Saya tergerak hati untuk pulang ke rumah bagi menjenguk abah pada waktu rehat (tengah hari).

“Sebaik sampai saya terkejut lihat abah terjatuh di dalam bilik solat dengan alat pengukur tekanan darah masih berada pada lengannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafiq berkata, menjadi kelaziman Allahyarham untuk memeriksa tekanan darah setiap kali selepas solat.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, Allahyarham pernah mengalami masalah jantung tersumbat beberapa tahun lalu, namun kesihatannya kini semakin baik.

“Jenazah abah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan di sini selepas solat isyak malam ini,” katanya.

Za’abar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu pada 2008 sebelum ditukarkan protfolio Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam pada Julai 2010 hingga 2013. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI