fbpx

Aplikasi i-MerchantRAKYAT terima 2,000 pendaftaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Program Digital Desa di Kampung Taginambur, Kota Belud, Sabah.

PETALING JAYA – Aplikasi i-MerchantRAKYAT yang mula diperkenalkan Bank Rakyat kepada orang ramai bermula 31 Oktober 2023 telah mencapai sebanyak 2,000 pendaftaran setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, aplikasi dilengkapi DuitNow QR itu merupakan kemudahan khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi menerima bayaran melalui kod QR.

“Kemudahan ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan boleh digunakan di mana-mana sahaja, tetapi mampu meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan dan kewangan agar lebih efisien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohammad Hanis berkata, Bank Rakyat terus komited memacu aktiviti ekonomi digital luar bandar bagi membudayakan gaya hidup tanpa tunai menerusi penggunaan perkhidmatan e-perbankan dan e-pembayaran dengan penganjuran Program Digital Desa di Kampung Taginambur, Kota Belud, Sabah.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan usaha berterusan dalam mentransformasikan ekonomi digital di kawasan luar bandar dengan memperkasa masyarakat setempat termasuk peniaga untuk menerima dan menyesuaikan aktiviti pendigitalan dalam urusan perniagaan dan kehidupan seharian.

“Program Digital Desa ini diadakan bagi menyediakan penyelesaian kewangan digital yang mampan dan inklusif kepada masyarakat luar bandar termasuk PMKS untuk mengadaptasi penggunaan perkhidmatan perbankan dan pembayaran elektronik seperti DuitNow QR dan MyDebit dalam operasi perniagaan mereka.

“Selain itu, Bank Rakyat turut memperkenalkan tawaran produk perbankan runcit melalui platform Bank Rakyat Quick (BRICK) serta produk perbankan perniagaan melalui platform Quick Response to Entrepreneurs (QR2E) untuk komuniti di sini,” katanya.

Tambah beliau, turut menerima manfaat melalui program itu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang yang telah membuka Akaun Simpanan-i melalui platform BRICK serta pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) dan pendaftaran aplikasi i-MerchantRAKYAT oleh penjaja di sekitar Kota Belud.

“Kami sentiasa meneroka peluang baharu untuk membantu mencapai keperluan dan jangkaan masyarakat di desa menerusi pelbagai inisiatif dan perkhidmatan, bertepatan dengan nilai kesejahteraan Malaysia Madani untuk bersama-sama menikmati kemakmuran digital selaras dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga sejajar dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempercepatkan penggunaan transaksi tanpa tunai yang membawa kepada peningkatan keterangkuman kewangan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI