fbpx

USM bangunkan bakat tenaga boleh diperbaharui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL RAHMAN (tengah) bersama Swee Lim (dua dari kiri) bergambar kenangan selepas menandatangani MoU antara USM dan Jinko Solar di CCR, USM baru-baru ini.

MUTAKHIR ini, perubahan iklim dunia menjadi satu isu yang sering diperdebatkan oleh banyak pihak kerana ia memberi kesan besar kepada alam sekitar.

Malah, penjanaan tenaga menyebabkan pelepasan gas rumah hijau sehingga menjadi salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Bagi membantu mengurangkan kesan itu, penggunaan tenaga boleh diperbaharui harus diutamakan pada masa kini.

Tenaga boleh diperbaharui merupakan satu tenaga yang dijana daripada sumber semula jadi seperti cahaya matahari, angin, air dan lain lain lagi.

Menyedari akan kepentingan tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jinko Solar Technology Sdn. Bhd. (Jinko Solar) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan bakat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Persefahaman tersebut akan memberi tumpuan kepada memperkasa pelajar USM untuk bakat berkemahiran tinggi yang menepati permintaan industri melalui mekanisme program serap-industri (industry-infused).

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kerjasama USM-Jinko Solar akan memberi kelebihan buat pelajar USM.

Ujarnya, kerjasama itu diharap dapat membantu pelajar meningkatkan penguasaan aspek industri yang lebih realistik dalam bidang berkenaan.

Dia memaklumkan, penguasaan siswa dapat ditingkatkan melalui latihan praktikal, projek tahun akhir dengan tajaan biasiswa atau sokongan pembiayaan.

Tenaga kerja juga diperlukan dalam industri tenaga solar.- Gambar hiasan

Menurutnya lagi, dia berharap kerjasama serap-industri di bawah kelolaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM itu dapat menghasilkan pelbagai projek penyelidikan yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan negara.

“Malah, penggunaan photovolta (atau PV) sebagai tenaga boleh diperbaharui adalah selari dengan fokus USM sebagai universiti yang menerajui segala aspek kelestarian.

“Sudah pasti ia juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) untuk menyahkarbon sektor pembuatan bagi mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 di negara ini,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menandatangani MoU di Bilik Persidangan Canselori (CCR), USM baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahman, dia berharap kolaborasi USM dan Jinko Solar akan mengintegrasi nilai-nilai kelestarian dalam usaha penyelidikan serta pendidikan melalui program yang relevan.

Pada masa sama, Timbalan Pengurus Besar, Jinko Solar, Lee Swee Lim berkata, pihaknya sentiasa komited untuk bersama-sama USM bagi mewujudkan kerjasama strategik, membangun dan menyokong program penyelidikan untuk manfaat kedua-dua pihak.

“Kerjasama USM-Jinko Solar sudah pasti memberi impak positif dalam pembangunan penyelidikan industri tenaga boleh diperbaharui.

“Ia secara tidak langsung dapat melahirkan bakat-bakat baharu negara yang pakar dalam bidang berkaitan serta mampu meningkatkan keupayaan bidang ini ke tahap disasarkan.

“Saya berharap, dengan kepakaran dimiliki kedua-dua pihak, ia dapat membuahkan hasil yang relevan kepada industri serta pendidikan tinggi negara,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI