NEW DELHI – Polis menahan seorang lelaki di Karnataka, India kerana mengugut untuk menyebar gambar intim isterinya selepas mangsa enggan bercerai, lapor laman berita NDTV kelmarin.
Kiran Patil, 45, dikatakan menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita lain sebelum perkara itu diketahui isterinya.
Suspek juga pernah pernah mendera isterinya dan mangsa membuat laporan polis berhubung keganasan rumah tangga yang dilakukan.
Namun, si isteri enggan berpisah dengan suaminya, menyebabkan dia terus menjadi mangsa keganasan lelaki itu.
Dalam aduannya, mangsa memberitahu bahawa suspek mengugut untuk menyebarkan gambar dan video intimnya di platform media sosial jika dia enggan bercerai.
“Semasa soal siasat, polis memeriksa telefon bimbit suspek dan menemui beberapa gambar serta video intim isterinya,” kata seorang pegawai polis.
Suspek kemudian melarikan diri dari balai polis sebelum bertindak minum cecair beracun bagi membolehkan dia dimasukkan ke hospital.
“Suspek dibenarkan keluar dari hospital pada Rabu (minggu lepas) dan dia telah dihantar ke pusat tahanan,” kata polis. – AGENSI