PETALING JAYA – Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa kerana penantiannya selama enam jam untuk membeli cromboloni menjadi sia-sia setelah pastri tular itu habis ‘disapu’ oleh pembeli peribadi (personal shopper).
Menurut hantarannya di aplikasi X, pembeli peribadi yang datang sejak awal pagi telah memesan awal dan ‘membolot’ hampir 80 biji cromboloni.
“Beratur enam jam dari pukul 8.40 pagi hingga pukul 2.40 petang. Sebelum ini, katanya pelanggan boleh beli sebanyak mana cromboloni yang diinginkan.
“Tetapi sebab personal shopper datang awal, mereka yang dapat dulu dan akhirnya, pelanggan biasa hanya boleh dua biji cromboloni setiap perisa,” katanya.
Pengguna tersebut berkata, pekerja staf kafe tersebut memberi alasan pekerja tidak cukup dan kekurangan tidur pada malam sebelumnya kerana terpaksa bekerja untuk menjayakan Hari Cromboloni tersebut.
“Tambah mereka, personal shopper telah pesan lebih awal, jadi mereka terpaksa dahulukan mereka (personal shopper).
“Bukan niat saya untuk jatuhkan bisnes orang. Tetapi, kena ada penambahbaikan pada masa hadapan. Jangan biarkan personal shopper bolot semua. Kalau tidak orang akan ambil kesempatan,” katanya.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 3,800 tanda suka dan 2 juta tontonan. – KOSMO! ONLINE
Beratur 6 jam dari pukul 8.40 sampai 2.40 ptg. As claimed customer bleh beli unlimited pcs. Tpi disebabkan PS dtg awal, dierang yg dpt sapu dulu and end up cust yg beratur lama dpt beli limited 2pcs per flavor je. pic.twitter.com/MW7EXbXR1I
— Irsyad (@IrsyadAdanan) January 7, 2024