fbpx

Pelantikan pengerusi, ahli lembaga BPP lalui semakan SPRM, tapisan PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) hari ini memutuskan pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) perlu melalui semakan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, langkah itu bagi pemantapan tatakelola BBP melalui pengukuhan pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan Badan Berkanun Persekutuan.

Jelas kenyataan itu, Jawatankuasa itu mempersetujui satu Gris Panduan baharu bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998.

Katanya, program pembangunan kapasiti Ahli Lembaga Pengarah BBP turut ditekankan dalam Garis Panduan ini.

“Ini juga bagi memperkasa peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat Badan Berkanun Persekutuan termasuk syarikat dan perbadanan BBP.

“Memperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).

“Selain itu, memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri,” kata kenyataan itu tadi.

Tambah kenyataan itu, sumbangan Badan Berkanun bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta jabatan-jabatan kerajaan lain.

“Melalui Pantau Madani, pemantauan Badan Berkanun Persekutuan akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU, JPM).

“Pelaksanaan Garis Panduan ini adalah menjadi keutamaan untuk mendukung agenda Madani melalui pemerkasaan BBP,” ujarnya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan, selaras dengan prinsip ketelusan, JKKTN juga membincangkan tentang format baharu pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen untuk dikuatkuatkuasakan semula.

“Format baharu ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh agenda tatakelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI