PETALING JAYA – Disifatkan tiada pendirian dan solidariti sekadar hangat-hangat tahi ayam, tindakan pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha memuat naik video mempromosikan jenama dipercayai buatan Israel mengundang kecaman.
Menerusi sebuah hantaran dalam Instagram, pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu dilihat sedang ‘unboxing’ kotak jenama Prada yang mengandungi produk kecantikan, beg tangan, minyak wangi dan beberapa barangan lain.
“Saya cuba menjauhkan diri tetapi awak (produk tersebut) tetap lekat di pandangan saya,” tulisnya sebagai kapsyen.
Seperti cakap tidak serupa bikin, tindakan aktres berumur 30 tahun itu mengundang rasa kurang senang netizen apabila dia dikatakan tidak sensitif terhadap situasi di Palestin yang masih bermandi darah.
“Amboi, dulu bukan main solidariti bersama Palestin, hujung-hujung promosi barangan buatan Israel, hangat-hangat tahi ayam sebab takut sendu ke sis,” komen netizen.
“Ini orang kata lupa ingatan tanpa sedar, susah sangat ke nak boikot produk Israel? Kalau Allah tanya dekat akhirat awak nak jawab apa?,” ujar seorang lagi pemilik akaun media sosial.
Terdahulu, pelakon filem Sumpahan Jerunai itu menyatakan sokongan terhadap Palestin dan bertegas akan terus bersuara mengenai isu sejagat itu demi membantu umat Islam di Gaza yang bertarung nyawa.
Malah, dia juga mengakui tidak kisah sekiranya perkongsian mengenai Palestin akan menjejaskan hubungan kerja dengan beberapa jenama antarabangsa kerana percaya segala rezeki hanya datang daripada Allah. – KOSMO! ONLINE