BANDAR GAZA – Pejabat Media Gaza mendakwa bahawa askar Israel mencuri wang tunai, emas dan artifak bernilai lebih 90 juta shekel (RM113 juta) dari Semenanjung Gaza sejak permulaan perang pada 7 Oktober lalu, lapor laman berita Daily Sabah semalam.
Menurutnya, berdasarkan berpuluh-puluh testimoni penduduk wilayah Palestin itu, semua rompakan berlaku sepanjang 92 hari lalu.
“Rompakan itu berlaku dalam beberapa cara. Salah satu daripadanya adalah di lokasi-lokasi pemeriksaan seperti Jalan Salah al-Din.
“Mereka (askar Israel) mengarahkan penduduk yang berpindah dari utara ke selatan Gaza berhenti lalu mencuri beg mengandungi barangan berharga seperti wang, emas dan artifak,” kata Pejabat Media Gaza.
Tambahnya, cara lain yang digunakan termasuk memecah masuk rumah penduduk yang diarah dikosongkan.
“Askar Israel merakam gambar dan video sebagai tanda kenangan perilaku jenayah mereka, dengan ada yang dimuat naik di platform media sosial,” tambah kenyataan sama.
Menurutnya, akhbar Israel, Yedioth Ahronoth turut mendokumentasikan jenayah itu serta menyifatkan ia sebagai ‘kecurian sistematik wang penduduk Gaza.’
Belum ada sebarang komen daripada pihak berkuasa Israel mengenai tuduhan tersebut. – AGENSI