fbpx

Kedah sasar kutipan hasil RM1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) selepas melancarkan Pelan Stratefik Portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri pada Perhimpunan Bersama Penjawat Awam di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan untuk mengutip hasil sekurang-kurangnya RM1 billion setahun dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai meskipun anggaran hasil negeri bagi tahun depan seperti dalam pembentangan Belanjawan Kedah 2024 hanya sebanyak RM748 juta.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memenuhi setiap keperluan rakyat, namun hasrat tersebut sukar direalisasikan sepenuhnya memandangkan kutipan hasil negeri agak terhad.

“Ada banyak lagi inisiatif akan diambil antaranya kita belum kuat kuasakan sewaan ruang udara. Untuk pemasangan ‘billboard’ misalnya, negeri lain telah mengenakan sewaan ruang udara selain yuran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi Kedah masih belum kuat kuasakan perkara itu.

“Hasil daripada jeti serta grid kuasa di hutan juga belum dikutip, malah kita bakal menyediakan kemudahan untuk fiber optik yang turut boleh mendatangkan hasil. Kebanyakannya hasil yang sepatutnya diperoleh melalui penguatkuasaan undang-undang tetapi belum dilaksanakan selain hasil-hasil baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri di Dataran Wisma Darul Aman dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, antara punca pendapatan paling tinggi yang mampu mencecah lebih RM300 juta adalah penguatkuasaan undang-undang terhadap pelanggaran syarat tanah dalam pembinaan bangunan.

Sebagai contoh katanya, terdapat bangunan atau struktur dibina 20 atau 30 tahun lalu yang melanggar peraturan termasuk dibina melebihi pelan asal sehingga mewujudkan tanah tidak berhasil buat kerajaan.

“Dulu undang-undang ini tidak dikuatkuasakan tetapi apabila kita nak kuat kuasakannya sekarang, takkan kita nak robohkan pula Pekan Alor Setar ini. Maka mereka perlu bayar kadar ditetapkanlah untuk binaan struktur melebih pelan ditetapkan.

“Semua ini ada dalam peruntukan undang-undang, bukan kita main ‘langgar’ saja. Kita akan laksanakan peringkat demi peringkat dan bukan di Alor Setar saja, malah banyak bandar lain lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI