JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan kepada 7,519 penduduk setakat pukul 5 petang berbanding 7,959 direkodkan pada 12 tengah hari tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 2,109 keluarga itu ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini.
Katanya, Kota Tinggi paling teruk dilanda banjir setelah jumlah mangsa berterusan meningkat kepada 4,397 penduduk daripada 1,185 keluarga di 26 PPS berbanding 4,268 penduduk daripada 1,140 keluarga pada 12 tengah hari tadi.
“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan setelah seramai 558 penduduk daripada 139 keluarga di Johor Bahru dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Ini menjadikan jumlah mangsa banjir di Johor Bahru berkurangan kepada 1,271 penduduk daripada 363 keluarga yang ditempatkan di enam PPS yang masih dibuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan negeri memberitahu, mangsa banjir di Kluang juga menunjukkan penurunan daripada 1,705 penduduk membabitkan 520 keluarga kepada 1,680 penduduk melibatkan 516 keluarga.
Sementara itu, di Segamat, katanya, terdapat sedikit peningkatan iaitu 68 penduduk daripada 17 keluarga berbanding 54 penduduk daripada 14 keluarga yang direkodkan tengah hari tadi.
“Jumlah mangsa banjir di Kulai dan Pontian tidak berubah dengan seramai 86 penduduk daripada 23 keluarga di Kulai dan 17 penduduk daripada empat keluarga di Pontian,” katanya.
Tambahnya, empat jalan di negeri ini terputus hubungan dan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi – Kluang Batu 25 dan Jalan Tai Hong di Kota Tinggi; Jalan Maju Jaya – Seelong, Johor Bahru dan Jalan Jabi – Bukit Tempurung, Segamat. – KOSMO! ONLINE