MADRID – Pasukan Repsol Honda tidak menolak kemungkinan juara dunia lapan kali, Marc Marquez akan kembali ke pangkuan pasukan itu dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada masa hadapan.
Perkara itu diakui sendiri pengurus pasukan, Alberto Puig yang menganggap pemergian Marquez ke Gresini Racing menjelang saingan musim baharu nanti hanyalah sebagai tempat ‘persinggahan’.
Bagaimanapun, beliau percaya Honda perlu memperbaiki banyak kelemahan bagi meningkatkan kemampuan jentera sekiranya mereka berhasrat untuk kembali mendapatkan khidmat pelumba Sepanyol itu.
“Secara jujur, kami sangat sedih untuk melihat Marc (Marquez) meninggalkan pasukan ini kerana dia sudah lama berada di sini dan berjaya mencipta banyak kejayaan bersama Repsol Honda.
“Bagaimanapun, dia terpaksa mengambil keputusan demi masa depannya selepas beberapa siri kecederaan. Sekarang fokus kami adalah untuk memastikan Honda kembali memiliki jentera terbaik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan, Honda sedang bekerja keras ketika ini bagi menyediakan jentera kompetitif menjelang sesi ujian musim sejuk yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
“Sekarang kami sedang berusaha untuk menyediakan sebuah jentera terbaik untuk pelumba-pelumba kami. Selepas itu, kami akan serahkan kepada mereka bagi menunjukkan kemampuan sebenar jentera Honda,” ujar Puig. – AGENSI