RAUB – Empat lelaki diberkas selepas dipercayai terbabit mencuri dua ekor lembu di Ladang Sawit Krau Empat di sini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang lelaki pada 6 Januari lalu.
“Dalam laporan itu, pengadu memaklumkan dia menerima panggilan daripada rakannya meminta segera pergi ke jalan utama Mempaga iaitu tapak Pasar Malam Mempaga.
“Dia (pengadu) bergegas ke sana dan mendapati sebuah kereta Proton Wira Aeroback terbabas dan berada di tepi jalan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini hari ini.
Menurut Mohd Shahril, pemeriksaan mendapati terdapat dua ekor lembu milik mangsa di dalam kereta tersebut yang dicuri di Ladang Sawit Krau Empat
Siasatan mendapati beberapa penternak membuat rondaan pada pukul 3 pagi, 6 Januari dan ternampak kereta Proton Wira Aeroback berada di tepi jalan dalam kawasan ladang tersebut.
“Penternak menghampiri kereta tersebut , namun pemandunya memecut menghala ke Jalan Utama Mempaga-Lebu. Mereka mengejar kereta itu sebelum terbabas di tapak Pasar Malam Mempaga,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis memberkas empat lelaki berusia 23 hingga 31 tahun. Tiga daripada mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan, manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan. Ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah. – KOSMO! ONLINE