fbpx

‘Duit bantuan sekolah RM100 boleh hadir, mesyuarat PIBG berjuta alasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fadli - Foto FB MOHD. FADLI SALLEH

PETALING JAYA – Kebanyakan ibu bapa yang tidak hadir ke mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah golongan paling cerewet dan sering mempertikaikan keputusan dibuat.

Meskipun mesyuarat tersebut kebiasaannya diadakan sekali dalam setahun, namun hanya sebahagian kecil sahaja memberi komitmen hadir mendengar serta memberi pandangan dalam sesi perbincangan bersama PIBG.

Seorang guru, Mohd. Fadli Salleh, berkongsi 10 ‘fakta sedih’ mengenai PIBG menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, fakta pertama adalah setiap kali diadakan mesyuarat PIBG, ia dilihat tidak mendapat sambutan oleh ibu bapa kerana ahli yang hadir hanyalah dalam kalangan guru dan barisan tertinggi persatuan sehingga menyukarkan keputusan majoriti dibuat.

“Fakta kedua, ahli yang tidak hadir mesyuarat paling banyak mempersoalkan keputusan PIBG yang ditetapkan pada hari mesyuarat. Ini paling menjengkelkan.

“Fakta ketiga, tidak ramai yang bayar sumbangan PIBG semata-mata kerana ianya sumbangan, bukan yuran. Anak aku tak bayar pun, semua program sekolah dia boleh masuk,” jelasnya.

Menurut Mohd. Fadli, ada ibu bapa yang sengaja tidak mahu membayar sumbangan PIBG kerana mereka melihat anak-anak di sekolah masih tetap dapat menggunakan kemudahan disediakan tanpa sebarang halangan atau sekatan.

“Ada ibu bapa yang kata kemudahan yang PIBG sediakan seperti kipas, dewan, hadiah, motivasi, apa jua yang mengguna dana PIBG, anak aku tetap dapat nikmati seperti murid lain. Buat apa aku bayar?.

“Hal ini disebarkan pula supaya kawan-kawan dia dan ibu bapa lain turut serta tidak bayar sumbangan PIBG. Berbahagialah kalian mengambil dan menggunakan hak orang lain,” perlinya.

Selain itu, antara ‘fakta sedih’ lain yang dikongsikan Mohd. Fadli adalah katanya kebanyakan sekolah hanya dapat mengumpul sekitar 30 peratus hingga 40 peratus sahaja sumbangan PIBG.

“Selebihnya buat keras macam tunggul kayu. Duit sumbangan RM100 untuk seorang murid, hampir 100 peratus ibu bapa datang ambil. Tiada alasan bekerja, sakit dan sebagainya. Tiba hari mesyuarat PIBG, berjuta alasan sampai. Sedih lagi,” luahnya.

Dalam pada itu, Mohd. Fadli mendakwa ramai dalam kalangan guru dan ahli jawatankuasa (AJK) PIBG difitnah oleh ibu bapa yang menganggap mereka menggunakan duit sumbangan bagi keselesaan sendiri.

“Duit PIBG kalau nak keluar waima RM1 mesti ada tanda tangan bendahari dan Yang Dipertua (YDP) PIBG dan semua duit yang masuk dan keluar diaudit dan dibentangkan dalam mesyuarat agung PIBG. YDP dan NYDP (Naib Yang Dipertua) pula adalah daripada kalangan ibu bapa.

“Tak datang mesyuarat, kemudian buat fitnah dan sebarkan. Fakta sedih lain adalah AJK PIBG dan guru-guru bertungkus-lumus kumpul dana untuk tabung PIBG. Turun naik syarikat dan kedai cari penaja, buat jualan dan sebagainya.

“Untuk ada dana bagi baik pulih sekolah atau buat program untuk murid, yang tak bayar sumbangan itu paling banyak mempertikai. Kenapa panggil penceramah itu bukan yang ini. Kenapa tak tukar kipas jenis itu ini dan pelbagai lagi. Mesyuarat PIBG tak pernah datang bersuara pula,” ujarnya.

Tambah Mohd. Fadli, kebanyakan keluarga yang membayar sumbangan PIBG adalah daripada golongan sederhana, manakala mereka memiliki pendapatan lebih tinggi sering mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain.

“Ini realiti yang sangat menyedihkan. PIBG yang disokong kuat oleh ibu bapa mampu berikan keselesaan pada infrastruktur sekolah dan kemudahan untuk murid.

“Anda hanya perlu menyimpan 14 sen sehari untuk bayar duit sumbangan PIBG berjumlah RM50 setahun. Tapi itu pun ramai yang gagal buat. Dan sangat ramai yang merungut mahal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI