PETALING JAYA – Hujan dan ribut petir diramal melanda kebanyakan negeri di seluruh negara mulai hari ini sehingga Rabu.
Ia berdasarkan jadual ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan dikongsi secara rasmi menerusi aplikasi X oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), hari ini.
Mengikut ramalan, pagi ini, hujan di satu dua tempat berlaku di Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor, Johor serta beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.
Pada sebelah petang dan malam pula, ribut petir juga diramalkan di satu atau dua tempat di seluruh negara kecuali Perlis.
Selain itu, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah dijangka mengalami hujan di satu atau dua tempat pada pagi esok.
Pada waktu petang pula, seluruh negara diramalkan mengalami ribut petir di satu dua tempat.
Malam esok, seluruh negara termasuk negeri Sabah diramalkan hujan di satu dua tempat kecuali di Perlis.
Sementara itu pada pagi Rabu, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah dijangkakan mengalami cuaca sama di satu dua tempat.
Sementara itu, pada sebelah petang, ribut petir diramalkan melanda di satu dua tempat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kecuali di negeri Perlis.
Pada waktu malam pula hujan diramal berlaku di satu dua tempat kecuali di negeri Perlis, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka. – KOSMO! ONLINE