fbpx

Banjir: Tangguh ke bandar Kota Tinggi – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN terkini banjir yang berlaku di bandar Kota Tinggi dari tingkat enam Hotel Mayres, Kota Tinggi yang memperlihatkan semua jalan di pusat bandar itu digenangi air.

KOTA TINGGI – Orang ramai dinasihatkan agar menghentikan sementara perjalanan ke bandar Kota Tinggi susulan banjir yang berlaku.

Meskipun keadaan cuaca baik pada pagi hari ini namun kawasan bandar hanya boleh diakses menggunakan bot selepas masih digenangi air dan tidak menunjukkan tanda untuk surut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dijangka akan berlaku peningkatan paras air di kawasan berkenaan sehingga mencecah ketinggian tiga meter melibatkan kawasan rendah.

“Setakat ini masih lagi ada beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui untuk keluar daripada Bandar Kota Tinggi ke kawasan Mersing ataupun Johor Bahru.

“Antaranya Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, Jalan Kota Tinggi – Mersing melalui Bypass dan Jalan simpang lampu isyarat Pasak Ke Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru, tetapi mengambil masa yang agak panjang kerana pengalihan jalan.

“Pihak polis menyeru kepada penduduk yang terjejas mahupun orang ramai yang ingin memasuki Bandar Kota Tinggi untuk menangguhkan sementara pergerakan mereka,” katanya ketika ditemui media pada operasi menyelamat mangsa banjir di sekitar bandar Kota Tinggi hari ini.

Katanya, keadaan situasi banjir di bandar Kota Tinggi kali ini melibatkan banyak jalan-jalan yang masih digenangi air.

Jelasnya, orang ramai juga boleh membuat pemantauan jalan menerusi media atau laman facebook rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), PDRM dan juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Saya berharap masyarakat Kota Tinggi dapat kekal tenang dan tidak panik kerana keadaan buat masa ini adalah terkawal.

“Malah operasi pencegahan jenayah juga dilakukan selepas operasi menyelamat, bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa banjir yang ditinggalkan, terutamanya kediaman berada dalam keadaan selamat sepanjang mangsa berada di Pusat Penempatan Sementara (PPS).

“Sejak banjir melanda pada empat hari bulan lalu sehingga kini, PDRM tidak ada menerima sebarang laporan tentang kehilangan harta benda mahu pun kecurian atau kehilangan nyawa,”katanya lagi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI