fbpx

Angkatan masa hadapan jaminan kedaulatan negara kekal terpelihara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah (tengah), Tunku Azizah(kanan) dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memberikan tabik hormat sempena Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. -Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pembentukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masa hadapan merupakan jaminan dalam menentukan kedaulatan negara terpelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kesemua itu boleh dicapai menerusi sinergi kerjasama erat di antara kerajaan, masyarakat dan warga ATM.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita di atas pelbagai kejayaan dan prestasi tinggi yang dipamerkan ATM.

“Melangkah kehadapan, ATM perlu terus diperkasa sejajar dengan matlamat negara untuk membentuk sebuah angkatan masa hadapan yang berkeupayaan untuk melindungi kedaulatan negara selain menangani cabaran geopolitik dunia yang kompleks.

“Justeru, aspirasi ke arah pembentukan ATM masa hadapan yang kredibal dan berkeupayaan tinggi wajar dijadikan sebagai agenda nasional,” titahnya pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Sehubungan itu, titah Al-Sultan Abdullah, ATM perlu bersedia dan bersikap terbuka untuk melalui proses transformasi demi mencapai matlamat dan objektif untuk negara.

“Barisan kepimpinan ATM hendaklah terus meningkatkan aspek pemerintahan serta nilai profesionalisme agar angkatan keramat ini terus kekal lestari sebagai benteng utama pertahanan negara.

“Penumpuan terhadap aspek kebajikan serta kesejahteraan warga ATM, disamping pembentukan modal insan yang berkualiti tinggi merupakan tunjang utama dalam mendukung aspirasi angkatan masa hadapan,” titahnya lagi.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada seluruh kepimpinan dan veteran ATM yang telah menyahut panggilan pertiwi.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah), amat menghargai seluruh ahli keluarga yang memberikan dokongan dan turut berkorban demi mengizinkan orang yang dikasihi untuk berbakti kepada negara.

“Sesungguhnya, berkorban jiwa dan raga untuk mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara adalah tugas mulia yang wajar disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia,” titahnya.

Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini akan digantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI