PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Ain Edruce berdepan detik cemas selepas anak perempuannya, Soraya diserang sawan gara-gara mengalami demam panas.
Lebih memilukan, ketika kejadian, selebriti berusia 33 tahun itu tiada di rumah kerana sedang bekerja untuk mengacarakan program Melodi dan terpaksa bergegas pulang selepas dihubungi suaminya, Amirul Hafiz yang memaklumkan tentang perkara tersebut.
“Cerita hari ini (semalam). Soraya demam sudah tiga hari. Sekitar pukul 4 pagi semalam, demamnya naik sehingga 40 darjah Celsius. Dan bagi ubat pun tidak surut-surut (suhu). Dia pun nampak penat sangat dan tidur.
“Jadi saya tidak mahu kacau dia. Sekitar pukul 10.30 pagi, dia bangun tidur dan nampak gembira. Hati saya tenang sedikit. Jadi saya bersolek untuk pergi ke set Melodi (mengacara). Dah sampai set dan berlatih dengan Bell Ngasri, dapat panggilan telefon Soraya masuk hospital. Suami kata anak kena sawan. Gugur jantung saya,” tulisnya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Ujar Ain atau nama lengkapnya Nurulain Edruce itu lagi, dia terpaksa meninggalkan set Melodi dan bergegas ke hospital untuk bersama dengan anaknya.
“Tuhan saja tahu tahu perasaan saya ketika itu. Terima kasih pasukan Melodi sebab faham situasi saya. Terima kasih kepada Bell Ngasri kerana jadi penyelamat saya.
Menerusi hantaran berbeza, Ain turut berkongsi video rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di rumahnya yang menunjukkan situasi kelam-kabut sewaktu suaminya mendukung Soraya yang diserang sawan untuk dibawa ke hospital.
Dalam rakaman tersebut, kelihatan Hafiz yang memakai kain pelikat, kelihatan tidak tentu arah bersama seorang pembantu, sambil mendukung Soraya yang dilihat lemah.
Sementara itu, Ain ketika dihubungi Kosmo! Online bersyukur apabila keadaan anaknya semakin pulih, malah kanak-kanak itu sudah kembali aktif apabila demamnya menurun.
“Alhamdulillah, pagi ini Soraya tidak lagi demam dan semakin ceria. Dia pun sudah kembali aktif dan jadi diri sendiri (cergas). Dah mula merayau satu hospital.
“Doakan supaya Soraya cepat sihat ya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE