fbpx

3 calon SPM dicekup curi, lerai komponen EX5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga buah rangka motosikal jenis Honda EX5 curi yang ditemui di kawasan anak sungai di Pasir Puteh kelmarin. -Foto PDRM

PASIR PUTEH – Tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di sini tidak berkesempatan untuk menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 hari ini apabila mereka ditahan selepas terlibat dalam kegiatan mencuri dan meleraikan komponen motosikal kelmarin.

Ketiga-tiga remaja berusia 17 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, suspek yang ditahan itu terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini dan Besut, Terengganu.

Menurutnya, ketiga-tiga remaja itu mengaku terlibat dalam beberapa kes bermula awal Disember lalu hingga bulan ini dengan menyasarkan untuk mencuri motosikal jenis Honda EX5.

“Mereka meninggalkan motosikal yang dicuri di kawasan sawah padi sebelum melerai dan mengambil komponen motosikal untuk dijual.

“Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek turut membawa kepada rampasan empat buah rangka motosikal yang dijumpai dalam anak sungai di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaizul Rizal memberitahu, semakan terhadap kesemua rangka itu mendapati ia merupakan motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga remaja itu negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Mahkamah Majistret Pasir Puteh membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Tambah Zaizul Rizal, kes disiasat mengkiut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI