ALOR GAJAH – Seorang wanita menjadi mangsa pembunuhan kejam apabila anggota badannya dipotong-potong sebelum mayatnya dalam keadaan bogel dibuang di dalam longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang di sini baru-baru ini.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu dijumpai orang awam dalam keadaan tanpa kepala, kaki dan tangan di dalam tong sampah di longkang berkenaan.
Polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat tanpa identiti itu pada pukul 2 petang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka melakukan siasatan di lokasi tersebut.
“Hasil siasatan di lokasi, polis menemui mayat wanita dalam keadaan berbogel dengan badannya tidak cukup sifat.
“Kita percaya kepala, kedua-dua tangan dan kaki si mati dipotong sebelum mayatnya dibuang.
“Pasukan forensik yang menjalankan siasatan lanjut di lokasi tidak menemui anggota badan si mati yang terpisah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Arshad, usaha mengesan anggota badan itu sedang giat dijalankan.
Pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa dari badan ke lutut itu sudah mula mereput dan darah juga kering.
Terdapat sehelai kain berwarna merah di bahagian bawah mayat mangsa. namun tidak menutupi badan si mati.
“Tiada sebarang tanda atau tatu pada tubuh si mati,” katanya.
Polis tidak menolak kemungkinan wanita itu sudah meninggal dunia tujuh hingga 10 hari sebelum mayatnya dijumpai di lokasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Arshad memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Alor Gajah di sini untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Setakat ini kita telah membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua kes orang hilang, tetapi keputusannya adalah negatif.
“Justeru polis meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan terdekat supaya menghubungi balai polis berhampiran,” kata beliau.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Deputi Superintendan Mohd. Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536 277.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati kawasan tersebut terletak bersebelahan dengan dusun dipercayai tanaman durian.
Lorong dua hala itu merupakan laluan utama menuju ke Tampin, Negeri Sembilan.
Tidak jauh dari lokasi penemuan mayat wanita itu, terdapat sebuah rumah dipercayai tidak berpenghuni. -KOSMO! ONLINE