fbpx

‘Saya tak jual bunga, ini kawan punya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan Op Kutip di sekitar KLCC, Bukit Bintang dan Jambatan Saloma, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh merayu dilepaskan dengan memberikan alasan bahawa barang jualan yang dipegang adalah milik kawannya, selepas ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen (JIM) menerusi Op Kutip, di sekitar ibu kota, malam tadi.

Lelaki itu berkata, dia hanya membantu menjaga beberapa kuntuman bunga berkenaan sementara kawannya itu pergi ke tandas.

“Kawan saya pergi tandas, saya tolong dia saja jaga barang (kuntuman bunga). Saya datang Kuala Lumpur untuk jalan-jalan bukan untuk jual barang,” katanya.

Selain itu, turut dikesan beberapa individu enggan memberikan kerjasama ketika ditahan seperti cubaan melarikan diri ketika diminta mengeluarkan dokumen yang berkaitan.

Bagaimanapun, hasil kecekapan petugas operasi, segala cubaan tersebut berjaya digagalkan dan kesemua mereka berjaya ditahan tanpa berlaku sebarang kekecohan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, penjaja dan peniaga kecil terdiri daripada warga asing antara yang dikesan dalam operasi yang dijalankan di sekitar menara berkembar KLCC, Bukit Bintang dan Jambatan Saloma.

Katanya, kegiatan tersebut merupakan salah di sisi undang-undang sekiranya warga asing tersebut hadir ke negara ini dengan pas lawatan sosial sebagai pelancong atau diambil secara sah sebagai pekerja.

“Tindakan ini melanggar undang-undang kerana bertentangan dengan syarat yang ditetapkan. Sekiranya mereka bekerja di sektor-sektor ditetapkan, adalah tidak dibenarkan berniaga walaupun untuk cari duit lebih.

“Majikan juga boleh diambil tindakan yang berat sekiranya melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan termasuk hukuman denda sehingga RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Mengulas lanjut, Jafri menegaskan, JIM menuju kearah menjadikan ibu negara sebagai bukan sebuah kawasan yang kondusif buat PATI bebas berkeliaran dan selesa untuk didiami.

“Amaran ini termasuk pada mana-mana pihak termasuk majikan yang melindungi dan menggajikan PATI. Imigresen pastinya akan meneruskan operasi bagi memastikan ibu kota bebas daripada PATI.

“Mereka yang ingin khidmat pekerja warga asing perlu menerusi melalui saluran yang betul. Tindakan tegas akan diambil dan tiada kompromi demi menjaga kedaulatan negara dan keselamatan awam,” katanya – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI