KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan buah kereta musnah dalam kebakaran yang berlaku di sebuah pusat servis kenderaan sekitar Jalan Segambut Selatan, Taman Segambut, di sini pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.08 pagi.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan bantuan BBP Jinjang dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.
“Pasukan bomba pertama tiba di lokasi pada pukul 8.16 pagi dan kebakaran didapati membabitkan sebuah bangunan kilang yang menempatkan pusat servis kenderaan.
“Kebakaran terbabit memusnahkan bilik penyimpanan alat ganti di tingkat satu manakala bilik fail yang berada di tingkat dua hangus sepenuhnya.
“Sebanyak lapan buah kereta di dalam bangunan berkenaan musnah 70 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, kebakaran pusat servis itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Sehubungan itu, katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE.