fbpx

Pertempuran Hizbollah-Israel semakin sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. ASKAR Israel berdiri dekat meriam Howitzer di Upper Galilee, utara Israel, Khamis lalu. - Foto AFP

BEIRUT – Tentera Israel berterusan berbalas tembakan dengan pergerakan Hizbollah di sempadan Lebanon kelmarin dalam perkembangan yang meningkatkan kebimbangan tercetusnya perang antara kedua-dua belah pihak, lapor portal berita The New Arab.

Tentera Rejim Zionis membedil beberapa buah bandar dan kampung di sempadan selatan Lebanon kelmarin sama ada melalui serangan udara atau bedilan artileri.

Pejuang Hizbollah bertindak balas dengan melancarkan sejumlah peluru berpandu ke utara Israel sebelum dipintas oleh sistem pertahanan udara Rejim Zionis dikenali sebagai ‘Kubah Besi’.

Pertempuran terbaru itu berlaku beberapa jam sebelum pe­mimpin Hizbollah, Hassan Nasrallah menyampaikan ucapan kedua beliau pada minggu ini.

Kampung di selatan Lebanon termasuk Aytat, Alma al-Shaab dan Ayta al-Shaab menyaksikan kemusnahan dan kerosakan besar sekali gus mengembalikan i­gauan ketika Israel dan Hizbollah berperang buat kali terakhir pada 2006.

Israel menggunakan bom fosforus putih beberapa kali ketika bertempur dengan pergerakan Hizbollah di Lebanon di samping Gaza.

Penggunaan fosforus putih di kawasan yang padat dengan penduduk adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.

Penduduk Israel meninggalkan kediaman mereka dekat sempadan dan menuntut tentera Rejim Zionis mengambil tindakan segera dan keras bagi menentang Hizbollah dengan mengusir pergerakan itu supaya mereka boleh kembali ke kediaman masing-masing.

Pertempuran kelmarin turut berlaku selepas tentera Israel menyerang sebuah apartmen di selatan Beirut, menyebabkan Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri dan beberapa anggota pergerakan itu terkorban.

Tindakan Rejim Zionis menyebabkan pertempuran antara tentera Israel dan Hizbollah semakin sengit berbanding selepas Rejim Zionis menyerang Gaza pada 7 Oktober lalu.

Serangan jet tentera Israel juga mencabul ‘peraturan penglibatan’ antara kedua-dua belah pihak kerana sebelum ini pertempuran hanya terhad di kawasan sempadan.

Lebanon turut memfailkan a­duan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung serangan yang meragut nyawa Arouri itu.

Dalam pada itu, Nasrallah menyatakan dalam ucapannya kelmarin bahawa Hizbollah telah mencederakan kira-kira 2,000 askar Israel sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata, hospital di utara Israel menerima kira-kira 2,000 askar Rejim Zionis yang cedera.

“Sejak akhir-akhir ini, mereka (Israel) mula bercakap tentang jumlah askar yang terbunuh dan cedera. Namun, ini bukan jumlah sebenar. Ramai pakar di (Israel) mengatakan bahawa jumlah sebenar adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding yang diumumkan,” katanya.

Nasrallah turut memberi ang­ka mengenai jumlah serangan yang dilakukan oleh Hizbollah dengan mendakwa bahawa pergerakan itu melancarkan lebih 670 operasi sejak tiga bulan lalu.

Katanya, semua 48 menara pengawasan Israel di sepanjang sempadan telah menjadi sasaran serangan pergerakan tersebut mengakibatkan Rejim Zionis mengalami kerugian ‘ratusan juta dolar.’

Tambahnya, aktiviti Hizbollah di sempadan selatan Lebanon memaksa Israel mengalihkan bala tenteranya dari Gaza.

Perpindahan puluhan ribu penduduk dari rumah mereka di utara Israel juga menambah beban politik dan ekonomi kepada Tel Aviv.

Nasrallah sekali lagi memberi amaran bahawa tindak balas terhadap pembunuhan Timbalan Ketua Hamas itu akan dilakukan tanpa memperincikan bila atau bagaimana ia akan dilaksanakan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI