KLUANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Johor memerlukan kira-kira RM30 juta untuk kerja-kerja pembaikan jalan rosak dan cerun runtuh di negeri ini yang terjejas dengan bencana banjir, ketika ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukkan itu diperlukan bagi 37 lokasi terdiri daripada 29 lokasi kerosakkan jalan dan lapan cerun runtuh yang telah dikenal pasti.
Katanya, semua kerja-kerja pembaikan itu akan dilaksanakan segera namun ada kerja-kerja yang bergantung dengan keadaan cuaca.
“Daerah Kluang merekodkan jumlah kerosakan jalan dan cerun runtuh tertinggi diikuti Kota Tinggi dan Mersing. Selain itu, kerja-kerja awalan menutup cerun dengan kanvas sudah pun dimulakan.
“Jika hujan mula reda, kerja-kerja akan dilakukan segera kerana jika hujan lebat, ia tidak akan memberi kesan,” katanya, selepas melakukan tinjauan di lokasi cerun runtuh dan jalan rosak akibat banjir di Seksyen 71-74, FT050, Jalan Kluang – Mersing di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE