BANGKOK – Mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui dalam keadaan berbungkus dan disumbat di dalam peti ais sebuah rumah di wilayah Nonthaburi, semalam, lapor akhbar Thaiger.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun, yang merupakan penjaga sah mangsa. Ibu bapa kanak-kanak itu dipenjarakan akibat kes dadah.
Ketika disoal siasat, suspek yang dikenali sebagai Koi berkata, pada 2 Januari lalu, dia tidur bersama mayat mangsa ketika menunggu suaminya pulang ke rumah.
Mayat kanak-kanak tersebut ketika itu dikatakan dihurung semut, manakala tangan dan mulutnya dipenuhi dengan pulut.
Suspek memberitahu polis bahawa mangsa meninggal dunia akibat tercekik pulut ketika makan. Disebabkan takut, suspek dengan dibantu suaminya membalut mayat mangsa menggunakan kain, menyumbatnya di dalam beg pakaian dan memasukkannya ke dalam peti sejuk, lapor akhbar Bangkok Post.
Polis masih menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa bagi menentukan punca kematian. – AGENSI