MELAKA – Dua beradik diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selepas dikesan mengutip sumbangan mencecah RM12,000 sebulan dengan menyanyi di hadapan sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir di sini, tengah malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah malam itu, kedua-dua mereka yang diselamatkan berusia 13 dan 15 tahun.
Lebih mengejutkan ibu kanak-kanak tersebut berusia 40-an bagaimanapun muncul kira-kira lima minit kemudian selepas melihat anaknya disoal siasat dan mendakwa mereka hanya membantunya mencari pendapatan untuk keluarga.
Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, hasil siasatan awal kanak-kanak tersebut dipercayai telah melakukan aktiviti berkenaan sejak empat tahun lalu dan berada di lokasi pada setiap hari bermula pukul 8.30 malam sehingga 3 pagi.
Katanya, kanak-kanak tersebut akan bernyanyi dan meraih sumbangan orang ramai dengan kutipan hari biasa mencecah RM300 sehingga RM600 pada hujung minggu.
“Kita percaya ibu kanak-kanak ini meletakkan anaknya di situ untuk mencari sumber kewangan kerana ketika serbuan dilakukan wanita itu juga berada jauh dari mereka, jadi ia merupakan situasi yang mencurigakan.
“Dua beradik ini meraih sumbangan antara RM300 sehingga RM600 setiap hari dengan bernyanyi pelbagai jenis lagu termasuk lagu 80-an dan berada di lokasi sehingga pukul 3 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Op Tindakan Mengambil Orang Papa dak Kanak-Kanak Berjadual di Banda Hilir, tengah malam tadi.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, hasil semakan lanjut, ibu kanak-kanak tersebut merupakan penerima bantuan bulanan JKM dan dua anaknya masih bersekolah di Bukit Katil.
“Kita akan mengambil tindakan pengawasan terhadap dua beradik ini tetapi sekiranya mereka ini perlu untuk kita lindungi demi masa depannya, kita akan ambil dan letakkan di rumah-rumah kebajikan supaya dapat jalani kehidupan normal di peringkat usia itu.
“Penguatkuasaan ini dibuat mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611),” ujarnya.
Tambah Zulkifli, sepanjang tahun lalu kira-kira 45 kes eksploitasi kanak-kanak berjaya dikesan di negeri ini dengan 30 kes merupakan kes berulang termasuk membiarkan anak-anak melakukan aktiviti menjaja buah-buahan, bernyanyi dan menjual tisu.
Terdahulu, dalam operasi itu enam lagi individu turut diselamatkan oleh JKM negeri termasuk seorang remaja bawah umur yang meraih sumbangan dengan memakai maskot serta lima gelandangan yang dikesan mengemis di kawasan tumpuan ramai.