JOHOR BAHRU – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menduduki peperiksaan ujian lisan esok terpaksa mengulang kaji pelajaran melalui telefon bimbit, di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MBIP, Skudai di sini.
Ini berikutan rumahnya keluarga Muhammad Aidid Asraf Rozzeli, 17, di Kampung Laut di landa banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
Menurutnya, semua buku berjaya diselamatkan dan diletakkan di dalam kereta namun pakaian sekolah tidak sempat diambil kerana air naik mendadak.
“Saya terpaksa belajar menggunakan telefon bimbit di PPS Dewan MBIP, Skudai. Nasib baik semua buku saya selamatkan dulu kalau tidak semuanya rosak kena air banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di PPS Dewan MBIP di sini.
Muhammad Aidid yang mengambil aliran Ekonomi berkata, tumpuannya terganggu kerana banjir kerana dalam masa yang sama terpaksa menghadapi SPM.
Bagaimana pun dia berharap dapat menghadapi SPM dengan tenang dan fokus kepada setiap kertas peperiksaan yang akan dihadapinya. – KOSMO! ONLINE